BERITA BAIK

Gaji RM2,000 boleh tangguh bayar PTPTN

Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang bergaji RM2,000 dan tinggal di ibu kota juga berpeluang menikmati penangguhan pembayaran balik pinjaman itu selepas kerajaan menimbang untuk menilai cadangan tersebut.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron berkata, tangga gaji sebanyak itu memang kecil dengan kos sara hidup tinggi yang terpaksa ditanggung, apatah lagi menetap di ibu kota.

"Cadangan itu wajar dipertimbangkan kerana kos hidup di bandar jauh lebih tinggi tetapi ia (tangguh pembayaran PTPTN) perlukan perincian terlebih dahulu agar tiada pihak menjadi mangsa.

"Ini kerana kita tidak mahu, dalam usaha memberi terlalu luas 'peluang' kepada peminjam ia akan membebankan pula PTPTN,'' katanya selepas merasmikan majlis Pelancaran Program Sekolah Kluster-Universiti di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Gabungan Pelajar Semenanjung Malaysia (GPMS), yang meminta kerajaan menilai meningkatkan kadar tangga gaji dari RM1,500 kepada RM2,000.

0 comments: